Friday, 14 December 2018

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN


Musim keluar keputusan peperiksaan.  Masing-masing ibubapa pun inginkan kongsi kegembiraan bersama-sama rakan. Di FB, di Insta mahupun di Whatsapp.  Tahniah yang berjaya. Kami yang membacanya pun turut berbunga-bunga gembira.

Dan Atiyah pun terima keputusan peperiksaannya.  Alhamdulillah dia lulus semua subjeknya, tapi tak de la berderet A nya... tapi lebih baik dari percubaannya...
Pandang wajahnya, nampak raut kelegaan. Otak ini cepat je flash back sepanjang setahun ini apa yg dilaluinya. Mungkin sukar baginya. Tapi tidak bagiku ketika usia begitu. Personaliti kami memang jauh berbeza.  Ku biarkan saja dia belajar menempuhnya dengan caranya.  Sesekali ku tarik, sesekali ku tolak... supaya dia di atas landasan yang betul.  Doaku sentiasa bersamanya. Semoga dia sentiasa kuat dengan Maha Pencipta.

Usai di sekolah, jemput adik-adiknya kami singgah di masjid untuk solat.  Dia sujud syukur.
Aku... aku hanya tiru perbuatannya... Syukur Allah... redha.

Rezeki itu bukan hanya dapat apa yg kita minta, tapi ambil juga apa yg Allah bagi...
Ku titipkan doa buatnya... Dan doa itu sangat panjang...panjang sangat... semoga Allah memakbulkan doaku. Amin.

Image may contain: one or more people, people sitting, close-up and indoor

Tuesday, 5 April 2016

ERTI SEBUAH KEHILANGAN

Lamanya menyepikan diri...

Terngiang-ngiang kata-kata Ustaz Pahrol, 'it's not about happen at you, but what's happen in you!'...

Yalah... banyak sungguh yang telah berlaku sepanjang penyepian ini...

Berkongsi tajuk erti sebuah kehilangan... yalah dunia ini adalah pinjaman, bahagia yang dikecapi bukanlah untuk selamanya.  Bahagia adalah satu nikmat yang perlu disyukuri.

Perginya seorang lelaki bernama Ayah... sewaktu usia 3 tahun mengajar erti dewasa dengan penuh cekal dan tabah.  Sentiasa berpegang dengan prinsip;

'...Allah sentiasa menjaga anak yatim, macam Nabi Muhamad...' pesan ustaz/ustazah sekolah agama... itu yang menjadikan diri ini rasa istimewa.

Memang sungguh!! Allah peliharaku sehingga dengan siapa kawan-kawanku Allah telah tetapkan.  Aku sentiasa dikelilingi rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang baik dan mulia.  Sesungguhnya Allah Maha Memelihara!!

Setelah Allah kurniakan seorang suami yang sangat baik... Allah jemput pula Abah We (Atok lelaki). Allah Maha Adil  Dialah yang menjaga kami 9 beradik ketika ketiadaan ayah.  Sangat lembut, sangat sayang pada kami, sanggup berkorban memenuhi permintaan kami... walaupun dia seorang pengayuh beca...kadang-kadang ambil upah tukang rumah.  Rumah kami dulu tu, Abah We yang tolong binakan.

Di hujung usianya dia sakit... sakitnya itu hanyalah ujian sementara kami saja... 4 tahun saja... sempat juga kami menjaganya... menghantar ke hospital, memenuhi keperluan walaupun dia tak pernah meminta itu dan ini... dia sangat baik untuk kami.  Semoga Allah tempat kan dia bersama orang-orang yang soleh di sana...

16 Ogos 2015 pula perginya seorang insan, yang juga seperti sahabat... usia perkahwinan kami hampir sama, membina kehidupan bersama-sama, melihatnya... bersembang dengannya hilang rasa duka...  menjadi inspirasi keluarga, inspirasi komuniti kampung yang kecil ini... jarak usia kami tiada jauh beza... dia juga insan istimewa... dia pergi tinggalkan isteri dan 3 anak-anaknya yang masih bersekolah... Oh Allah! ini dugaan untuk kami pula... Sesungguhnya, tiada daya dan upaya melainkan dengan izinMu jua...

Di sebalik erti sebuah kehilangan itu, tinggal pengertian... bahawa hidup ini hanya sementara, akhirat juga tujuan kita... kebaikan, kebajikan yang kita lakukan bukanlah jaminan untuk kita masuk ke syurga, namun... Rahmat Allah jua yang diharapkan.  Usia muda bukan satu jaminan untuk lambat dijemput Ilahi... bersedia saja kita... kematian adalah satu yang pasti...

Wahai diri, apa yang mahu dikejar... semuanya telah Allah berikan.  Yang tak diminta pun Allah bagi dengan banyak sekali... taat lah diri pada Ilahi... taat lah hati hanya pada ya Rabbi... mana satu nikmat tuhanmu yang engkau dustakan...?!


Thursday, 17 July 2014

APA LAGI NIKMAT DUNIA YANG KITA CARI...?

Apa lagi yang kita nak cari di muka bumi ini bila segalanya telah Allah cukupkan untuk kita?  Thank you Allah...and I love you...Sebanyak-banyak syukur....Nikmat yang paling besar adalah nikmat dan Islam... Lahir sebagai Islam... Tiada lagi nikmat yang lebih besar berbanding ini...


Wednesday, 6 March 2013

TERAPI TAUBAT...




Buat semua ibubapa...khasnya buat diriku... catatan ini bukanlah untuk menunjukkan diri ini sungguh berilmu, tetapi sebagai ingatan buat diriku yang selalu lupa dan lalai.  Semoga
Allah tidak meletakkan diriku bersama-sama orang yang rugi...

Mendengar perkongsian ilmu Ustazah Norhafizah memberikan diri ini kekuatan... Bertaubatlah!

Peranan ibubapa membimbing anak-anak.  Membimbing anak-anak bukan hanya ketika mereka berjaya dan disaat mereka gembira sahaja.  Bimbingilah dan pimpin juga anak-anak ketika mereka melakukan dosa.  Bukan mereka sahaja perlu bertaubat.  Ibubapa lebih-lebih lagi... entah mana mungkin sebenarnya antara dosa yang mereka lakukan itu kita ada 'sumbangannya'!...

Oh tidakkk!!! besarnya tanggungjawab ibu dan bapa ini... ingat boleh berasa gembira sahaja disaat mereka berjaya, tapi lupa akan tanggungjawab bebanan dosa mereka. 

Ya Allah! sesungguhnya aku bersyukur kerana Maha KayaNya Engkau telah kurniakan 4 (in shaa Allah termasuk 5) cahaya mata buat kami.  Merekalah cahaya mata dan cahaya hati kami.... penyeri rumahtangga kami... Ya Allah, sesungguhnya mereka juga adalah amanahMu... berikanlah kami suami isteri kekuatan untuk mendidik mereka.

Sesungguhnya cita-cita kami amat tinggi, kami ingin melihat mereka berjaya di dunia dan juga di akhirat.  Menjadi mujahid agama dan dalam masa yang sama menjadi insan yang disegani dan menjadi teladan yang baik di muka bumi ini.

Ya Allah kami ini sesungguhnya amat lemah dan lagi lalai... banyak sungguh permintaan kami yang kami sendiri tidak tahu samada ianya baik untuk kami atau pun tidak.  Wahai Tuhan yang Maha Sempurna kami hanya inginkan yang terbaik untuk amanah Mu ini... Amin...


Monday, 10 December 2012

APA ADA PADA NAMA...


Firman Allah SWT, "HAI orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain (kerana) harus puak dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) nama fasik sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan yang fasik), maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujuraat [049], ayat 11)
 
 
 

Jangan sesekali memanggil seseorang dengan panggilan yang tidak disukai olehnya

Al kisah ketika Rasulullah bersama para sahabat....Singa Allah dan Singa Rasul adalah gelaran agung yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada Hamzah bin Abdul Muttalib. Pada zaman Rasulullah, memang terdapat gelaran-gelaran yang diberikan baginda kepada para sahabatnya. Contohnya:
 
1. Abu Hurairah (Bapa Kucing) diberikan kepada Abdul Rahman Bin Saqr,
2. Humairah (Pipi Merah) diberikan kepada Siti Aisyah,
3. Asadullah (Singa Allah) diberikan kepada Hamzah Abdul Muttalib,
4. Saifullah (pedang Allah) diberikan kepada Khalid al-Walid.
 
Semua gelaran di atas bukan bertujuan menghina tetapi menunjukkan rapatnya hubungan Rasulullah SAW dengan mereka.
 
Gelaran Hormat Sebagai Rakan Sekerja
 
Begitu juga gelaran hormat sesama rakan sekerja... panggil lah rakan sekerja dengan gelaran yang digemari dan semakin memotivasikannya.... menjadikan diri mereka sentiasa  dihargai ketika 8 jam bekerja.  Kita juga akan dihormati.  Ukhuwah pun semakin erat.
 
 
Jangan Rasa Diri Sudah Cukup Baik...!
Mungkin dia jauh  lebih baik dari kita... orang sekarang suka sebut 'budget baik' untuk sifat 'ujub dalam diri sendiri.  Sungguh buruk sikap ini... tapi kebanyak kita ada simpan 'stok' ni dalam diri kita... tak percaya, cuba hayati suara hati sendiri... sebab ini adalah bisikan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menghapuskan segala amalan baik yang telah kita lakukan.  Sifat 'ujub inikan pembakar atau penghapus segala kebaikan yang telah kita lakukan...bukan?!
 
Lantaran itu menganggap orang lain serba tak sempurna dan tidak sebaik dirinya... lalu menyarankan itu dan ini agar orang itu akan menjadi baik dan hebat seperti dirinya! na'uzubillah!!! Muslimat, jangan lah percaya bisikan ini... inilah sebenarnya tipu daya syaitan...!
 
Muslimat, buatlah banyak kebaikan dan sembunyikanlah! Rendahkan lah hati serendah rumput di lereng bukit, menahan tanah tidak luruh...membantu manusia berjalan kaki...  Belajar juga dari kebaikan dan kelemahan orang lain.  Ingat, bahawa Allah ciptakan manusia mempunyai kelebihan tersendiri.  Setiap manusia itu unik.  Masing-masing ada peranan mereka sendiri.  Walaupun mereka hanya pencuci! Hormatilah juga mereka...
 
 
 
Romantik Sebuah Sunah Nabi Dalam Hubungan Suami Isteri
 
Begitu juga di alam rumahtangga, panggilan atau gelaran bukan sahaja akan disukai oleh pasangan, malah akan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang.... jelas saja bagaimana Baginda Rasullullah memanggil nama Aisyah dengan Si Humairah...!

Panggilan – Memanggil isteri dengan panggilan atau gelaran yang disukai. Contohnya “ayang”, “darling”, atau apa jua panggilan manja yang amat disenangi, maka ia dapat memberi impak bermakna buat isteri.
 
Sikap romantik lahir dari hati yang kaya dengan kasih sayang. Ia adalah manifestasi daripada akhlak mulia yang terpancar melalui percakapan dan perbuatan sehari-hari. Sikap romantik ini perlu dikekalkan sepanjang masa, walaupun pada usia perkahwinan semakin bertambah.

Gangguan anak-anak malah cucu-cucu tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak lagi bersikap romantik bersama pasangan masing-masing.
 
Beraubatlah!
 
Sentiasalah bertaubat.  Bertaubat tak semestinya kena di atas tikar sejadah sahaja.  Di mana-mana sahaja kita boleh lakukannya.  Waimah di hadapan PC, berjalan, memandu, makan, berbaring....! 
 
Janganlah zalim dengan diri sendiri.  Dengarlah suara hati yang mulus.  Sesungguhnya Allah suka kepada hambaNya yang bertaubat.  Rasullah s.a.w yang dijanjikan syurga pun sentiasa bertaubat kepada Allah.  Apatah lagi kita...
 
 
 
Firman Allah di atas sesungguhnya mengandungi seribu satu pengajaran dalam menjaga perhubungan sesama manusia... masih banyak lagi yang boleh dihuraikan dan dikongsikan di sini...ini hanya sebagai catatan dan peringatan untuk diri saya sebelum saya terlupa... jika ianya bermanafaat, bolehlah kita kongsikan dan amalkan bersama...Insyaalah...

Sunday, 13 November 2011

BAIK KAH KITA, BILA KITA BERTUDUNG?

Salam...semua, lama tak update blog ini...

Kali ni nak kongsikan satu pertanyaan yang kita kena jawap bersama-sama...  "baikkah kita, bila kita bertudung?"

Adakah mungkin orang yang bertudung seperti saya ini akan diuji sebegini? Saya selalu menasihati diri saya...bahawa tudung yang saya pakai membawa imej Islam.  Orang Islam mestilah sentiasa terbaik.  Dari semua aspek kehidupan...kerja, akhlak, pergaulan...semua lah!  Tidak dinafikan kadang kala mulut ini sekali sekala terlepas juga tersakiti hati orang lain, tapi bila tersedar tu kenalah cepat-cepat minta maaf...dan berusaha untuk tidak mengulangi lagi.  Seperti topik blog ini yang lepas, bahawa orang yang bertudung, berpuasa belum cukup menjadi indikator bahawa mereka adalah baik.  Tapi ini adalah proses untuk kita menjadi baik. 

Pengalaman saya dengan orang yang tidak bertudung ini dari segi pergaulan, kerja, kehidupan memang tip top! Memang terbaik.  Cuma mungkin bila mereka bertudung maka complete lah package mereka as a Good Muslimah! Mungkinkah juga mereka sedang diuji? siapa tahu? Saya juga amat berharap agar topik kali ini mungkin memudahkan laluan ujian yang sedang mereka lalui...


kenapa tanya soalan ini, ye?



Sebab...ada seorang sahabat kata "kalau bagi kerja selalu ada alasan, kalau buat kerja pun hasil kerja tak seberapa, hantar tugasan pun lewat, curi tulang pun selalu... ini bukan yang pakai tudung aje, ustaz pun ada...! so, apa bezanya dengan i yang macam ini (tak bertudung), tapi i masih tahu hukum curi tulang..."

herk! herk! herk! susah gak nak jawab...



Diharap penulisan Ustaz Pahrol ini boleh membantu kita...

Keupayaan akal terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.

“Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.”

“Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?” jolok saya melayan pola logiknya berfikir.

“Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak.”

“Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?” kilas saya tiba-tiba.

“Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut…”

“Itu sahaja?”

“Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?”

“Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya.”

“Mengapa?”

“Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran… ia suatu yang objektif dan mutlak, ” akui saya terus-terang.

“Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!”

Saya cuba senyum lantas berkata,” akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat… Ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas.”

“Jadi akal kita untuk apa?” desaknya lagi.

“Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan.”

Wednesday, 28 September 2011

Glitter Words
[Glitterfy.com - *Glitter Words*]



Sekiranya ditanya dimanakah nilai harga diri anda?  Adakah nilai harga diri kita terletak atas barang yang kita guna...handphone, kereta, pakaian berjenama?  Jika itu lah jawapan nya... kiranya kita kena fikirkan semula...

Nilai harga diri kita adalah terletak dalam diri kita sendiri.  Persepsi diri kita terhadap diri kita sendiri adalah lebih penting daripada persepsi orang lain terhadap diri kita.  Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi adalah orang yang menghargai dirinya sendiri. 


Oleh itu tidak lah perlu rasa sedih bila orang lain tidak menghargai apa yang kita telah lakukan. Ini kerana hanya kita tahu apa yang kita lakukan.  Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi akan menghargai diri orang lain.  Menghormati mereka.  Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi juga tidak bongkak, sombong mahupun takabbur!  Kerana mereka tidak memandang rendah terhadap keupayaan orang lain.

Oleh itu hargai lah diri sendiri.  Percaya terhadap diri sendiri.  Yakin kepada Allah.  Bersyukur.

Terima kasih Ustaz Pahrol....

Thursday, 8 September 2011

Glitter Words
[Glitterfy.com - *Glitter Words*]

Pertamanya terima kasih kepada Ustaz Hasrizal atas tazkirah ini...Sebenarnya tazkirah ini telah pun dikeudara pada 17 Ogos yang lalu.  Namun, kerana kesibukan tugas, tidak sempat untuk saya kongsikan bersama rakan-rakan yang mengikuti blog ini. 

Dalam tazkirah ini dapat dibuat konklusi bahawa dengan memperbaiki input akan menghasilkan output yang berkualiti.  Saya masih ingat istilah 'input' dan 'output' ini saya ketika di zaman persekolah dulu...ia berkaitan dengan komputer...rupa-rupanya istilah inipun diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Berbalik kepada topik tazkirah...seringkali kita berhadapan dengan suasana atau fenomena apabila kita melihat seseorang itu rajin berpuasa, rajin solat, lengkap menutup aurat...ia akan menjadi satu indikator bahawa itulah insan yang baik.  Bak kata orang kalau nak cari calon menantu, ciri-ciri inilah yang dicari...


Namun hakikat atau realiti yang sebenarnya kita perhatikan bahawa '...orang itu solat, tapi masih buat maksiat....', '...orang itu dah dapat haji...tapi masih...', '...orang itu nampaknya rajin berpuasa, tapi...' macam-macam tapi lah dihujung amalan yang dilakukannya itu...kenapa, ye?


Menurut tazkirah Ustaz lagi...ini sebenarnya semuanya bergantung kepada NIAT!  sekiranya seseorang itu mendirikan solat untuk menunjuk-nunjuk kepada bakal mertuanya...maka hasilnya seperti yang diniatkannya itu.  Jika kita berpuasa niatnya untuk menjadi kurus...maka hasilnya seperti itu... Jika pergi haji hanya niatnya untuk mendapatkan title "haji" begitulah seterusnya. 


Jadi...adakah ini bermakna jika seseorang itu berpuasa, menutup aurat, solat, menunaikan haji itu sudah cukup jadi satu indikator bahawa seseorang itu dapat title BAIK?! 


Sekarang kita kena fikirkan bahawa sebenarnya puasa, solat, haji, menutup aurat dan segala amal ibadat, kebajikan yang kita lakukan adalah SEBENARNYA SATU PROSES untuk kita MENJADI BAIK.  Manakala NIAT pula menentukan kearah kebaikan atau sebaliknya amalan yang dilakukan itu.  Niat pula tidak lah dapat dilihat denga mata kasar kita.   Hanya Allah dan diri kita sahaja yang mengetahuinya.


Semoga bermanafaat untuk dikongsikan.

Monday, 22 August 2011

Ramadhan Kita vs Ramadhan Mereka...

Catatan kejayaan umat Islam dalam bulan Ramadhan telah pun tercatat di dalam sejarah.  Antaranya kejayaan umat Islam dalam perang Badar, kejayaan semula umat Islam ke atas Kota Mekah dari cengkaman kaum kafir Quraisy, kejayaan tentera Salahuddin Al-Ayubi menakluki Baitulmaqdis di dalam peperangan salib setelah dikuasi oleh orang Kristian selama 88 tahun, begitu juga kemenangan umat Islam di Bosnia dari tentera Yahudi pun berlaku dalam bulan Ramadhan.  Dan banyak lagi kejayaan umat Islam dalam bulan Ramadhan...


Namun itu puasa mereka...

Bagaimana dan apa yang berlaku dalam tahun 1961 terhadap pemimpin Habib Bourguina di Tunisia?  Beliau telah menghalang umat Islam daripada berpuasa di bulan Ramadhan.  Dan sesiapa yang berpuasa akan dikenakan tindakan atau hukuman.  Ini dengan alasan bahawa di dalam bulan Ramadhan akan berlakunya penurunan dalam produktiviti negara. 

Habib ni tak baca sejarah, ke?!  atau mungkin benar juga kata-kata beliau?  Cuba kita fikirkan semula...kualiti puasa zaman para sahabat...tahun 1961...hinggalah puasa kita sekarang 2011...hemmm sama ke?  Soalan yang hanya diri sendiri sahaja yang boleh dijawab dengan tepat.

Perhatikan pula senario yang berlaku sekarang ini.  Sekiranya kita duduk di dalam organisasi, dalam bulan Ramadhan memang tiada kursus, mesyuarat jarang-jarang dilakukan malah balik lebih awal daripada waktu kerja yang biasa.  Kenapa ya?!  Bos kata kalau buat juga kursus dalam bulan Ramadhan, staf marah! kalau buat mesyuarat pula, dalam mesyuarat yang kedengaran '...tiada idea...', bagi balik awal supaya jalan tak sesak kerana bazar Ramadhan.

Agak-agak la kan, sekiranya Rasulullah ada pada ketika ini beginikah sikap umat Islam yang sewajarnya?

Allah s.w.t  telah menurunkan Al-Quran, Rasulullah membawa hadis pengajaran  dan sejarah telah membuktikan!  Jadi, dimanakah nilai puasa umat Islam masakini?

Sahabat semua... pahala membuat kebajikan, kebaikan dan amal soleh dalam bulan Ramadhan dibuka seluas-luasnya.  Kita masih lagi boleh membaca Al-Quran dan Solat Dhuha ditempat kerja.  Namun dalam masa yang sama kita mestilah sentiasa mempertingkatkan produktiviti dan kualiti kerja kita malah lebih baik lagi di bulan Ramadhan ini.  Buktikanlah bahawa kita bukan LEMAH!


Terima kasih Ustaz Hasrizal Abd Jamil...

Tuesday, 21 June 2011

KEMATIAN DAN KEHIDUPAN YANG BARU

Kematian adalah merupakan satu detik bermulanya sebuah kehidupan yang baru tanpa berkesudahan.  Sebagai umat Islam adalah wajib meyakini bahawa selepas kematian ada lagi sebuah kehidupan yang berkekalan yang dinamakan alam akhirat.  Penentuan balasan syurga atau pun neraka.  
Proses kematian itu bermula sejak kita dilahirkan di mukabumi ini.  Kematian adalah satu kepastian.  Yang tak pasti itu bila akan terjadi kepada kita.  Semakin meningkat usia kita semakin dekatlah kita dengan kematian.  Walaupun kematian itu sebenarnya tidak mengira samada kita muda atau pun tua.   

Ada orang yang takut mati, ada orang lupa nak mati (tak ingat bahawa dia akan mati) dan ada juga orang yang kalau boleh tak nak mati.  

Apakah hikmah kematian dalam menempuh alam kehidupan sementara ini.  Orang yang sentiasa ingat mati akan menjadikan diri mereka progresif dan dinamik.  Kenapa?  Orang yang beriman dengan kematian, beriman dengan balasan kebaikan (pahala), kejahatan (dosa), seksaan alam kubur, titian sirat, seterusnya syurga dan neraka...akan memastikan dirinya sentiasa melakukan yang terbaik dalam kehidupan sementara ini.  Kehidupan sementara adalah peluang menambah 'pelaburan' ke sana.  Menjadikan ruang masa kehidupan 24 jam untuk beribadah hanya kepadaNya. Dengan itu bila kita ingat mati, sebenarnya akan menjadikan kita umat yang terbaik.

Contoh... jika kita ada anak...anak kita menghadapi masalah dalam pelajaran, di sekolah atau sebagainya, bagi orang yang beriman dengan kematian, tentunya akan memastikan bahawa masalah anaknya itu akan diselesaikan sebelum kematiannya.  Maka segala permasalahan cuba diselesaikan dengan sebaik mungkin.  Sebab kita tak mahu bila kita mati nanti anak kita dibelenggu masalah yang kita tak dapat selesaikan.  

Contoh lain, bagi mukmin yang berkerjaya, kita akan pastikan kerja kita lakukan dengan sehabis baik, supaya kalau kita mati nanti orang lain tidak tertanya-tanya apa yang telah kita lakukan.  Malah mungkin kita lebih banyak dapat buat kerja dengan hasil kualiti kerja yang terbaik.

Contoh lain, pengalaman saya sendiri sebelum menunaikan haji.  40 hari saya tinggalkan anak-anak.  Saya pun tak pasti 40 hari itu apa akan terjadi kepada saya.  Maka saya siapkan surat wasiat buat anak-anak akan apa yang akan saya tinggalkan.  Lepas itu satu perasaan yang sentiasa mendorong saya supaya jangan melakukan kemaksiatan, kejahatan, dosa, keingkaran tidak kira samada kepada sesama manusia mahupun bukan manusia.  Sebab saya tak nak mati dalam kemurkaan Allah SWT.  Saya nak buat yang terbaik untuk kehidupan akan datang.  (Semoga saya beristiqamah)  

Orang yang bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. 

Terima kasih Ustaz Pahrol untuk tazkirah pagi ini...semoga bermanafaat untuk dikongsikan.  

Monday, 20 June 2011

MUSLIM YANG PROFESIONAL



Tajuk yang sangat menarik minat saya.  Saya mula membacanya sebagai tajuk hadapan majalah kegemaran saya 'SOLUSI'.  Apa yang menariknya pada hari ini saya mendengar lagi Ustaz Pahrol menjelaskannya di corong radio IKIM.fm.  Ada beberapa point yang menjadi minat saya:

1.  Sentiasa beribadah 24 jam, bagaimana merealisasikannya dalam kehidupan?

Islam adalah adalah agama yang sempurna dan ianya menyempurnakan kehidupan.  Apabila kita berpegang kepada kalimah 'tiada tuhan yang disembah melainkan Allah' maka tidak lah dapat kita lihat dan buat kecuali semuannya atas nama Allah.  Oleh itu setiap pekerjaan yang dilakukan dengan menyebut nama Allah, maka ianya dikira sebagai ibadah.  Ingat hadis 40 yang pertama...setiap pekerjaan bermula dengan niat.  Oleh itu, tidak lah ada isu kerja yang tidak ibadah.  Ibadah bukan semestinya kena pegang tasbih dan duduk di atas tikar sejadah sahaja.  Lebih dari itu...Selama mana kita melakukan perkara atau pekerjaan yang baik bila kita menyebut nama Allah maka ianya dikira sebagai ibadah.  Apa-apa pun kerja kita.  Dari kita bangun tidur, gosok gigi, mandi, berjalan, memakai pakaian, bekerja (mengajar, nelayan, pemandu kereta, pegawai eksekutif, surirumah dan sebagainya) sehinggalah kita tidur semula...itu dikira ibadah. 

Satu lagi di sini, apabila kita telah memulakan kerja kita dengan nama Allah, tentunya kita akan melakukannya dengan cara yang sebaik mungkin.  Ini kerana menyedari bahawa Allah sedang menilai kerja kita dan memerhatikan kita.   Macam bila big boss kita tengah tengok kita tengah buat kerja...apa rasa? Macam tu la...tapi mesti lebih dari itu sebab Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam isi perut kita.    


2.  Menjadi muslim sebenarnya automatik pastinya dan sepatutnya menjadi profesional.

Oh! orang yang kerja bidang profesional sahaja yang terlibat dalam isu ini....Oh! tidak sama sekali!  sebab kalau seseorang itu pemandu teksi pun kena profesional.  Merekodkan meter, perlu amanah menghantar penumpang ikut jalan yang sepatutnya, membuat kiraan perjalanan dengan betul, menepati masa, membuat tuntutan perjalanan pada yang sepatutnya...baru lah orang kata 'sungguhpun dia pemandu, tapi dia pemandu profesional lah!'  

Kenapa bila jadi muslim automatik ia akan menjadi profesional?  Kerana dalam Islam setiap kerja yang dilakukan mestilah dirancang terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.  Tak kiralah walaupun kita hanya seorang suri rumah sahaja.  Tapi kita merancang apa yang berlaku di dapur, di luar rumah mahupun bercuti dengan sebaiknya.  Nampak tak keperluan profesional ini?

3.  Orang yang cerdik memeluk Islam (kerana kajiannya), orang yang bodoh dalam Islam keluar Islam.

Di dalam ruang bual bicara itu lagi ustaz ada menceritakan tentang bahawa orang yang cendekiawan di luar Islam sana mengkaji Islam dan mendapati ianya satu agama yang syumul dan belajar untuk mendekatinya dan cuba untuk memilikinya.  Malangnya penganut Islam sendiri tidak menyedari keindahan Islam ingin keluar dari agama ini.  Islam itu indah tapi masalahnya adalah pengikutnya...kenapa umat Islam ditindas?  Mundur dari segi ekonomi?  Kenapa yang paling mudah diperkotak katikkan?  Cuba kita cari jawapannya dalam diri kita sendiri...adakah umat Islam itu lemah kerana pengikutnya seperti kita, ke?

4.  Islam adalah agama yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.

Inilah ayat yang jelas dan tidak lagi perlu diulas.

5.  Kenapa kita kena jadi profesional?

Ustaz Pahrol bagi contoh nak cari DNA khinzir dalam makanan.  Kalau kita tidak ada kepakaran tentunya kita tidak dapat nak kesan DNA ini.  Kepakaran seperti ini amat diperlukan dalam satu-satu bidang profesion yang profesional.  Islam amat memerlukan ini. 


Nota:
Ulasan penulisan ini adalah hasil kefahaman penulis sendiri daripada yang didengar di sesi tersebut.  Semoga bermanafaat ilmu yang sedikit ini.

Tuesday, 12 April 2011

KASIHI IBU BAPA

Kasihi ibu bapa kita...walaupun besar mana pun kebaikan yang kita lakukan kepada mereka, kita tetap tidak mampu untuk membalas jasa mereka.  Keperitan menanggung 9 bulan di dalam kandungan, kepedihan dalam meniti kehidupan yang dalam kesempitan...apa tah lagi kesakitan ketika melahirkan...terbalas kah kita?


Janganlah diherdik mereka...mentang-mentang mereka dah tak berdaya untuk mendengar dengan baik...  Janganlah menghina mereka...mentang-mentang la harta mereka telah pun diwasiatkan kepada kita...  Jangan lah perbodohkan mereka...mentang-mentang la kita dah pandai uruskan hal duniawi ini....Janganlah di'kaki'kan mereka...mentang-mentang la kaki kita lebih besar darinya... Jangan lah...jangan lah...jangan lah...!


Ingat tak masa kita kecil tak berdaya...lapar... tahunya menangis saja.... dia lah yang suapkan kita, susukan kita... Ingat tak masa tu kita tak tahu pun nak mandi dan bersihkan diri...dia lah yang mandikan dan bersihkan kita...kita jadi wangi, hangat kena bedung...hangat dalam pelukannya... masa tu kaki kita sebesar dua jari mereka saja...kita dijaga, disayangi, dikasihi dalam suasana yang kita sendiri faham...lafaz tak terucap...dan sebenarnya kita tahu itu...


Tapi...kenapa? sombong sangat kah kita ini untuk mengakui itu semua? tinggi sangatkah darjat kita hingga melupakan itu semua?  siapakah kita?  siapakah mereka?


Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kamu sementara kamu masih kecil!  Kerana apa?  masa kita kecil, kita tak berupaya... sama keadaannya ketika mereka tua...tak berdaya.  Ketika kecil kita tak 'faham bahasa', ...sama ketika mereka tua...kita kena ikut kehendak mereka. Begitu juga halnya dengan kasih sayang...ketika kita kecil kita amat perlukan perhatian dan kasih sayang.  Ketika tua pun mereka perlukan perhatian dan kasih sayang.  Ketika kecil kita comel...tak ada gigi, ...sama juga ketika mereka tua tak ada gigi...


Sesungguhnya dunia ini ibarat roda...sekali di atas dan sekali di bawah dan ia berpusing....mungkin masa kita berdaya ini kita mampu lakukan apa sahaja.  Tapi ingat! bila kita tua nanti...jika kita berikan contoh yang buruk kepada anak-anak kita, nescaya balasan yang sama juga akan kita perolehi nanti...  Bertaubat sebelum terlambat, rebutlah peluang ketika mereka ada di depan kita...mohon kepada mereka untuk doakan keberkatan kehidupan kita...kerana Allah Maha Mendengar lagi Maha Perkenan doa dari mereka.  


"Ya Allah ampunkan dosa kedua ibubapaku, peliharalah mereka, kasihanilah mereka sebagaimana mereka telah mengasihaniku ketika aku kecil"

Al-Fatihah buat arwah ayahandaku yang telah pergi ketika usiaku 3 tahun... Al Fatihah juga buat hati bondaku semoga dia sentiasa bahagia meniti hari-hari mendatang dan dikurniakan kesihatan yang baik....

Thursday, 24 March 2011

MUHASABAH DIRI

'Allah memberikan hikmah (kebijaksanaan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya.  Dan barang siap yang diberikan hikmah, sesungguhnya dia telah diberikan kebijaksanaan yang banyak dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang yang berakal dan berfikir panjang'  (Al-Quran 2:269)

Di dalam ayat di atas Allah telah berfirman bahawa Allah akan berikan kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki.  Dan kebijaksanaan itu tidak akan datang dengan sendiri tetapi sebagai manusia yang berakal kita dikehendaki berfikir panjang.

Apa yang hendak difikirkan?  Ia mungkin apa-apa sahaja yang ada di keliling kita.  Ia boleh jadi satu masalah, cabaran, isu, dugaan, dan ia boleh jadi seribu satu perkara yang pernah kita hadapi atau lalui pendek kata macam-macam lah.  Pokoknya kita ada sesuatu yang difikirkan.

Kadang-kadang atau seringkali juga kita mendengar orang mengatakan 'malas aku nak fikir...!' malah ini pun boleh dijadikan satu perkara untuk difikirkan. 

Percaya atau tidak otak yang berjaya berfikir, menganalisis menekankan pemikiran rasional melibatkan fungsi rohani akan membantu manusia mencari kebenaran dan keikhlasan dalam usahanya mempertingkatkan nilai hamba di sisi  Allah SWT.   

Apa pula yang dimaksudkan dengan berfikir panjang...?  Bagaimana cara berfikir panjang?  Apakah panduannya?  Apakah formatnya?  Mudah sahaja...ini boleh diikuti dengan langkah yang berikut:

  1. Tuliskan apa sahaja perkara yang boleh diperbaiki/kekurangan yang ada dalam diri anda...
  2. Dengarkan bisikan hati anda untuk mengulas masalah/kekurangan anda itu...
  3. Tuliskan kenapa agaknya masalah itu timbul dalam diri anda
  4.  Apa kesan masalah/kekurangan itu dalam hidup, keluarga, profession atau perniagaan anda
  5. Berikan satu cadangan bagaimana caranya untuk anda memperbaiki kelemahan/masalah/kekurangan itu 
  6. Tuliskan satu tindakan segera yang mampu anda lakukan untuk memperbaiki kelemahan/masalah/kekurangan itu
Anda akan dapati diakhir anda berfikir panjang itu sekiranya jiwa anda sihat, anda akan temui...salah satu atau ketiga-tiga perkara berikut:

1.  Pemikiran yang membawa anda melihat Allah sebagai Pencipta yang Agung
2.  Pemikiran yang membawa anda melihat Allah sebagai Maha Berkuasa
3.  Pemikiran yang membawa anda melihat diri sendiri berbeza dari haiwan dan bersedia untuk berubah dan menerima nasihat orang lain...

jika tidak....anda memerlukan seorang Coach untuk membantu anda...



 

Monday, 14 March 2011

MAAFKAN DIA...!

Jadilah seorang yang pemaaf…kerana banyak kelebihan orang yang memberi maaf…

Walaupun hati kita sungguh sakit, pedih, terguris, terluka…tapi percaya, tak  ubat yang paling mujarab untuk itu adalah BERIKAN KEMAAFAN…?  Lepas itu hati kita akan berasa sungguh tenang… lapang…gembira…fikiran kembali positif…wajah bertambah seri…
Memang la mula-mula tu sungguh sukar untuk memaafkan dengan sepenuh hati.  Tapi bila sampainya ‘one fine day’ kita boleh memaafkannya keikhlasan itu akan datang sendiri dan akhirnya kita akan lupa akan kesakitan yang pernah kita rasa itu.

Ini sebenarnya satu terapi kepada hati yang sihat.  Jadi, jangan bersedih apabila kita disakiti.  Fikirkan yang positif.  Kadang kala kita perlu berubah.  Mungkin dengan cara yang ‘lembut’ kita tak nak berubah…maka bila kita kena uji dengan sikit ‘kasar’ dengan keadaan seperti ini,..baru lah kita sedar kesilapan kita itu. Tiba-tiba sebenarnya kita boleh berubah.  Malah boleh berhijrah untuk menjadi yang lebih baik lagi.  Hebat, kan sunnatullah ini…?

Lagi orang mampu memaafkan ini adalah orang yang benar-benar hebat.  Ini kerana mereka mampu mengawal minda dan perasaan amarah mereka.  Dari segi perubatan moden, orang yang memaafkan akhirnya akan mengurangkan tekanan dalam jiwa mereka.  Apabila ini Berjaya dilakukan maka masalah seperti tidak boleh tidur malam, sakit perut dan stress boleh ditangani. 

Di dalam Al-Quran ada menyebutkan tentang Allah menyuruh kita supaya memaafkan orang lain…antaranya…
Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh (jahil). (QS. Al-A’raaf, 7:199)
Dalam ayat lain Allah berfirman: "...dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (QS. An Nuur, 24:22)
dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (QS. At Taghaabun, 64:14)
Juga dinyatakan dalam Al Qur'an bahwa pemaaf adalah sifat mulia yang terpuji. "Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Qur'an 42:43)
Berlandaskan hal tersebut, kaum beriman adalah orang-orang yang bersifat memaafkan, pengasih dan berlapang dada, sebagaimana dinyatakan dalam Al Qur'an, "...menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain." (QS. Ali ‘Imraan, 3:134)


Dan banyak lagi…
Oleh itu pembaca sekalian…marilah kita belajar untuk memaafkan orang lain…

Thursday, 10 March 2011

Tuesday, 8 March 2011

Dunia ini tak adil...



Bukan bermakna bahawa dunia penciptaan Allah ini tidak sempurna.  Sempurna! malah sungguh sempurna!  Dunia ini tak ada keadilan...kerana ajaran Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya...!  Indahnya hidup di dunia ini jika ajaran Islam dipatuhi.  Perundangan Islam dilaksanakan sepenuhnya. Al-Quran dan Sunnah dituruti.

Mana ketidakadilannya?  Ingat tak lagi kisah arwah Nurin Jazlin? di mana pembunuhnya?  Bayi-bayi yang dibuang di tepi jalan, longkang, tandas, surau, masjid, taman...siapakah ibu mereka?  penipuan...rasuah...penganiayaan...

Begitu juga kadang-kadang kita terjumpa dengan orang yang begitu miskin hidupnya...melarat...merempat...seperti tiada lagi jalan keluar dari kemiskinan itu. 
  
Dengan itu jangan lah bersedih...kerana kita perlu mengimani bahawa kehidupan ini bukan hanya di dunia...malah nanti di akhirat.  Di sana segala ketidakadilan akan diadili oleh Allah Yang Maha Adil jua.  Dari perkara atau perbuatan besar hinggalah sekecil zarah pun Allah akan kira.  Di sana lah nanti akhirnya akan ditempatkan orang yang taat dan sabar di dunia akan mendapat balasan kebaikan di syurga seperti yang Allah janjikan di dalam Al-Quran.  Begitu juga orang yang zalim di atas muka bumi ini Allah akan mengazab mereka di  neraka.  Waallahua'lam.

Monday, 7 March 2011

Ikhlas...

Susahnya nak ikhlas...bila kita kata kita ikhlas sebenarnya kita tak ikhlas...!  Bila kita kata ikhlas kerana Allah, maka sebenarnya kita tidak mengharap apa-apa pun balasan.  Kerana nilai ikhlas itu Allah jua yang tahu, dan Allah jua yang akan membalasnya.

Ikhlas dalam persahabatan contohnya.  Tidak mengharapkan apa-apa pun atas ikatan persahabatan.  Bukan kerana naik pangkat, bukan kerana dia glamour, bukan kerana itu dan ini....Tapi bila kita kata ikhlas bersahabat dengannya maka bermakna, bertemu kerana Allah...berpisah kerana Allah.  Kalau sahabat kita buat silap, kita lah orang pertama yang akan menegurnya.  Dan kita sendiri kena faham begitu lah sebaliknya bila sahabat menegur kesilapan kita.  Sebab kita perlu perbaiki diri kita setiap hari.  Dan perlunya seorang sahabat yang menasihati.

Ikhlas dalam amalan juga begitu...sebab kita bukan masuk syurga kerana amalan kita yang banyak...tapi kita masuk syurga kerana rahmat dan kasih sayang Allah jua...(tapi ini bukan lah bermaksud kita tak perlu beramal...)  Ingat tak kisah yang popular dimana seorang pelacur yang menyelamatkan anjing kehausan?

Orang yang ikhlas adalah orang yang berjaya dan orang yang hebat!  kerana orang yang ikhlas tak perlukan pengiktirafan daripada orang yang berada dikelilingnya, mahupun bosnya...sebab Juruaudit yang paling Agung adalah Allah SWT jua.  Dia Yang Maha Melihat, Maha Mengetahui...malaikat kanan dan kirinya lah yang membuat 'checklist'nya... Mereka tidak pernah kecewa apabila orang lain persendakan apa yang dilakukan, ikhlas dalam percakapan dan kata-kata, ikhlas dalam tindakan, wajahnya terpancar cahaya keikhlasan, hatinya tidak terbeban, sentiasa berlapang dada...tidak pernah mengharap kepada manusia...

Inilah cabaran IKHLAS...

Saturday, 5 March 2011

Nikmat Disyukuri...

Bersyukur dengan apa yang ada...mudah-mudahan Allah akan tambah lagi...

Friday, 4 March 2011

Coaching Di Arau

As salam.  Seronok sangat! terima kasih kawan-kawan di PTSS. Melayan karenah kami yang macam-macam nih!

pilih mana satu coach pilihan hati...

Seorang wanita Perlis kata kat kami orang Perlis tak pernah marah.  Sebab depa sungguh berhaluuih bila bercakap.  Kami jumpak dengan sorang bro orang Perlis...memang betui kut depa ni tak pernah marah.  Lembuiit!!! Hai...macam mana la kalau orang Perlis marah...?