Monday, 22 August 2011

Ramadhan Kita vs Ramadhan Mereka...

Catatan kejayaan umat Islam dalam bulan Ramadhan telah pun tercatat di dalam sejarah.  Antaranya kejayaan umat Islam dalam perang Badar, kejayaan semula umat Islam ke atas Kota Mekah dari cengkaman kaum kafir Quraisy, kejayaan tentera Salahuddin Al-Ayubi menakluki Baitulmaqdis di dalam peperangan salib setelah dikuasi oleh orang Kristian selama 88 tahun, begitu juga kemenangan umat Islam di Bosnia dari tentera Yahudi pun berlaku dalam bulan Ramadhan.  Dan banyak lagi kejayaan umat Islam dalam bulan Ramadhan...


Namun itu puasa mereka...

Bagaimana dan apa yang berlaku dalam tahun 1961 terhadap pemimpin Habib Bourguina di Tunisia?  Beliau telah menghalang umat Islam daripada berpuasa di bulan Ramadhan.  Dan sesiapa yang berpuasa akan dikenakan tindakan atau hukuman.  Ini dengan alasan bahawa di dalam bulan Ramadhan akan berlakunya penurunan dalam produktiviti negara. 

Habib ni tak baca sejarah, ke?!  atau mungkin benar juga kata-kata beliau?  Cuba kita fikirkan semula...kualiti puasa zaman para sahabat...tahun 1961...hinggalah puasa kita sekarang 2011...hemmm sama ke?  Soalan yang hanya diri sendiri sahaja yang boleh dijawab dengan tepat.

Perhatikan pula senario yang berlaku sekarang ini.  Sekiranya kita duduk di dalam organisasi, dalam bulan Ramadhan memang tiada kursus, mesyuarat jarang-jarang dilakukan malah balik lebih awal daripada waktu kerja yang biasa.  Kenapa ya?!  Bos kata kalau buat juga kursus dalam bulan Ramadhan, staf marah! kalau buat mesyuarat pula, dalam mesyuarat yang kedengaran '...tiada idea...', bagi balik awal supaya jalan tak sesak kerana bazar Ramadhan.

Agak-agak la kan, sekiranya Rasulullah ada pada ketika ini beginikah sikap umat Islam yang sewajarnya?

Allah s.w.t  telah menurunkan Al-Quran, Rasulullah membawa hadis pengajaran  dan sejarah telah membuktikan!  Jadi, dimanakah nilai puasa umat Islam masakini?

Sahabat semua... pahala membuat kebajikan, kebaikan dan amal soleh dalam bulan Ramadhan dibuka seluas-luasnya.  Kita masih lagi boleh membaca Al-Quran dan Solat Dhuha ditempat kerja.  Namun dalam masa yang sama kita mestilah sentiasa mempertingkatkan produktiviti dan kualiti kerja kita malah lebih baik lagi di bulan Ramadhan ini.  Buktikanlah bahawa kita bukan LEMAH!


Terima kasih Ustaz Hasrizal Abd Jamil...

Tuesday, 21 June 2011

KEMATIAN DAN KEHIDUPAN YANG BARU

Kematian adalah merupakan satu detik bermulanya sebuah kehidupan yang baru tanpa berkesudahan.  Sebagai umat Islam adalah wajib meyakini bahawa selepas kematian ada lagi sebuah kehidupan yang berkekalan yang dinamakan alam akhirat.  Penentuan balasan syurga atau pun neraka.  
Proses kematian itu bermula sejak kita dilahirkan di mukabumi ini.  Kematian adalah satu kepastian.  Yang tak pasti itu bila akan terjadi kepada kita.  Semakin meningkat usia kita semakin dekatlah kita dengan kematian.  Walaupun kematian itu sebenarnya tidak mengira samada kita muda atau pun tua.   

Ada orang yang takut mati, ada orang lupa nak mati (tak ingat bahawa dia akan mati) dan ada juga orang yang kalau boleh tak nak mati.  

Apakah hikmah kematian dalam menempuh alam kehidupan sementara ini.  Orang yang sentiasa ingat mati akan menjadikan diri mereka progresif dan dinamik.  Kenapa?  Orang yang beriman dengan kematian, beriman dengan balasan kebaikan (pahala), kejahatan (dosa), seksaan alam kubur, titian sirat, seterusnya syurga dan neraka...akan memastikan dirinya sentiasa melakukan yang terbaik dalam kehidupan sementara ini.  Kehidupan sementara adalah peluang menambah 'pelaburan' ke sana.  Menjadikan ruang masa kehidupan 24 jam untuk beribadah hanya kepadaNya. Dengan itu bila kita ingat mati, sebenarnya akan menjadikan kita umat yang terbaik.

Contoh... jika kita ada anak...anak kita menghadapi masalah dalam pelajaran, di sekolah atau sebagainya, bagi orang yang beriman dengan kematian, tentunya akan memastikan bahawa masalah anaknya itu akan diselesaikan sebelum kematiannya.  Maka segala permasalahan cuba diselesaikan dengan sebaik mungkin.  Sebab kita tak mahu bila kita mati nanti anak kita dibelenggu masalah yang kita tak dapat selesaikan.  

Contoh lain, bagi mukmin yang berkerjaya, kita akan pastikan kerja kita lakukan dengan sehabis baik, supaya kalau kita mati nanti orang lain tidak tertanya-tanya apa yang telah kita lakukan.  Malah mungkin kita lebih banyak dapat buat kerja dengan hasil kualiti kerja yang terbaik.

Contoh lain, pengalaman saya sendiri sebelum menunaikan haji.  40 hari saya tinggalkan anak-anak.  Saya pun tak pasti 40 hari itu apa akan terjadi kepada saya.  Maka saya siapkan surat wasiat buat anak-anak akan apa yang akan saya tinggalkan.  Lepas itu satu perasaan yang sentiasa mendorong saya supaya jangan melakukan kemaksiatan, kejahatan, dosa, keingkaran tidak kira samada kepada sesama manusia mahupun bukan manusia.  Sebab saya tak nak mati dalam kemurkaan Allah SWT.  Saya nak buat yang terbaik untuk kehidupan akan datang.  (Semoga saya beristiqamah)  

Orang yang bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. 

Terima kasih Ustaz Pahrol untuk tazkirah pagi ini...semoga bermanafaat untuk dikongsikan.  

Monday, 20 June 2011

MUSLIM YANG PROFESIONAL



Tajuk yang sangat menarik minat saya.  Saya mula membacanya sebagai tajuk hadapan majalah kegemaran saya 'SOLUSI'.  Apa yang menariknya pada hari ini saya mendengar lagi Ustaz Pahrol menjelaskannya di corong radio IKIM.fm.  Ada beberapa point yang menjadi minat saya:

1.  Sentiasa beribadah 24 jam, bagaimana merealisasikannya dalam kehidupan?

Islam adalah adalah agama yang sempurna dan ianya menyempurnakan kehidupan.  Apabila kita berpegang kepada kalimah 'tiada tuhan yang disembah melainkan Allah' maka tidak lah dapat kita lihat dan buat kecuali semuannya atas nama Allah.  Oleh itu setiap pekerjaan yang dilakukan dengan menyebut nama Allah, maka ianya dikira sebagai ibadah.  Ingat hadis 40 yang pertama...setiap pekerjaan bermula dengan niat.  Oleh itu, tidak lah ada isu kerja yang tidak ibadah.  Ibadah bukan semestinya kena pegang tasbih dan duduk di atas tikar sejadah sahaja.  Lebih dari itu...Selama mana kita melakukan perkara atau pekerjaan yang baik bila kita menyebut nama Allah maka ianya dikira sebagai ibadah.  Apa-apa pun kerja kita.  Dari kita bangun tidur, gosok gigi, mandi, berjalan, memakai pakaian, bekerja (mengajar, nelayan, pemandu kereta, pegawai eksekutif, surirumah dan sebagainya) sehinggalah kita tidur semula...itu dikira ibadah. 

Satu lagi di sini, apabila kita telah memulakan kerja kita dengan nama Allah, tentunya kita akan melakukannya dengan cara yang sebaik mungkin.  Ini kerana menyedari bahawa Allah sedang menilai kerja kita dan memerhatikan kita.   Macam bila big boss kita tengah tengok kita tengah buat kerja...apa rasa? Macam tu la...tapi mesti lebih dari itu sebab Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam isi perut kita.    


2.  Menjadi muslim sebenarnya automatik pastinya dan sepatutnya menjadi profesional.

Oh! orang yang kerja bidang profesional sahaja yang terlibat dalam isu ini....Oh! tidak sama sekali!  sebab kalau seseorang itu pemandu teksi pun kena profesional.  Merekodkan meter, perlu amanah menghantar penumpang ikut jalan yang sepatutnya, membuat kiraan perjalanan dengan betul, menepati masa, membuat tuntutan perjalanan pada yang sepatutnya...baru lah orang kata 'sungguhpun dia pemandu, tapi dia pemandu profesional lah!'  

Kenapa bila jadi muslim automatik ia akan menjadi profesional?  Kerana dalam Islam setiap kerja yang dilakukan mestilah dirancang terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.  Tak kiralah walaupun kita hanya seorang suri rumah sahaja.  Tapi kita merancang apa yang berlaku di dapur, di luar rumah mahupun bercuti dengan sebaiknya.  Nampak tak keperluan profesional ini?

3.  Orang yang cerdik memeluk Islam (kerana kajiannya), orang yang bodoh dalam Islam keluar Islam.

Di dalam ruang bual bicara itu lagi ustaz ada menceritakan tentang bahawa orang yang cendekiawan di luar Islam sana mengkaji Islam dan mendapati ianya satu agama yang syumul dan belajar untuk mendekatinya dan cuba untuk memilikinya.  Malangnya penganut Islam sendiri tidak menyedari keindahan Islam ingin keluar dari agama ini.  Islam itu indah tapi masalahnya adalah pengikutnya...kenapa umat Islam ditindas?  Mundur dari segi ekonomi?  Kenapa yang paling mudah diperkotak katikkan?  Cuba kita cari jawapannya dalam diri kita sendiri...adakah umat Islam itu lemah kerana pengikutnya seperti kita, ke?

4.  Islam adalah agama yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.

Inilah ayat yang jelas dan tidak lagi perlu diulas.

5.  Kenapa kita kena jadi profesional?

Ustaz Pahrol bagi contoh nak cari DNA khinzir dalam makanan.  Kalau kita tidak ada kepakaran tentunya kita tidak dapat nak kesan DNA ini.  Kepakaran seperti ini amat diperlukan dalam satu-satu bidang profesion yang profesional.  Islam amat memerlukan ini. 


Nota:
Ulasan penulisan ini adalah hasil kefahaman penulis sendiri daripada yang didengar di sesi tersebut.  Semoga bermanafaat ilmu yang sedikit ini.

Tuesday, 12 April 2011

KASIHI IBU BAPA

Kasihi ibu bapa kita...walaupun besar mana pun kebaikan yang kita lakukan kepada mereka, kita tetap tidak mampu untuk membalas jasa mereka.  Keperitan menanggung 9 bulan di dalam kandungan, kepedihan dalam meniti kehidupan yang dalam kesempitan...apa tah lagi kesakitan ketika melahirkan...terbalas kah kita?


Janganlah diherdik mereka...mentang-mentang mereka dah tak berdaya untuk mendengar dengan baik...  Janganlah menghina mereka...mentang-mentang la harta mereka telah pun diwasiatkan kepada kita...  Jangan lah perbodohkan mereka...mentang-mentang la kita dah pandai uruskan hal duniawi ini....Janganlah di'kaki'kan mereka...mentang-mentang la kaki kita lebih besar darinya... Jangan lah...jangan lah...jangan lah...!


Ingat tak masa kita kecil tak berdaya...lapar... tahunya menangis saja.... dia lah yang suapkan kita, susukan kita... Ingat tak masa tu kita tak tahu pun nak mandi dan bersihkan diri...dia lah yang mandikan dan bersihkan kita...kita jadi wangi, hangat kena bedung...hangat dalam pelukannya... masa tu kaki kita sebesar dua jari mereka saja...kita dijaga, disayangi, dikasihi dalam suasana yang kita sendiri faham...lafaz tak terucap...dan sebenarnya kita tahu itu...


Tapi...kenapa? sombong sangat kah kita ini untuk mengakui itu semua? tinggi sangatkah darjat kita hingga melupakan itu semua?  siapakah kita?  siapakah mereka?


Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kamu sementara kamu masih kecil!  Kerana apa?  masa kita kecil, kita tak berupaya... sama keadaannya ketika mereka tua...tak berdaya.  Ketika kecil kita tak 'faham bahasa', ...sama ketika mereka tua...kita kena ikut kehendak mereka. Begitu juga halnya dengan kasih sayang...ketika kita kecil kita amat perlukan perhatian dan kasih sayang.  Ketika tua pun mereka perlukan perhatian dan kasih sayang.  Ketika kecil kita comel...tak ada gigi, ...sama juga ketika mereka tua tak ada gigi...


Sesungguhnya dunia ini ibarat roda...sekali di atas dan sekali di bawah dan ia berpusing....mungkin masa kita berdaya ini kita mampu lakukan apa sahaja.  Tapi ingat! bila kita tua nanti...jika kita berikan contoh yang buruk kepada anak-anak kita, nescaya balasan yang sama juga akan kita perolehi nanti...  Bertaubat sebelum terlambat, rebutlah peluang ketika mereka ada di depan kita...mohon kepada mereka untuk doakan keberkatan kehidupan kita...kerana Allah Maha Mendengar lagi Maha Perkenan doa dari mereka.  


"Ya Allah ampunkan dosa kedua ibubapaku, peliharalah mereka, kasihanilah mereka sebagaimana mereka telah mengasihaniku ketika aku kecil"

Al-Fatihah buat arwah ayahandaku yang telah pergi ketika usiaku 3 tahun... Al Fatihah juga buat hati bondaku semoga dia sentiasa bahagia meniti hari-hari mendatang dan dikurniakan kesihatan yang baik....

Thursday, 24 March 2011

MUHASABAH DIRI

'Allah memberikan hikmah (kebijaksanaan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya.  Dan barang siap yang diberikan hikmah, sesungguhnya dia telah diberikan kebijaksanaan yang banyak dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang yang berakal dan berfikir panjang'  (Al-Quran 2:269)

Di dalam ayat di atas Allah telah berfirman bahawa Allah akan berikan kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendaki.  Dan kebijaksanaan itu tidak akan datang dengan sendiri tetapi sebagai manusia yang berakal kita dikehendaki berfikir panjang.

Apa yang hendak difikirkan?  Ia mungkin apa-apa sahaja yang ada di keliling kita.  Ia boleh jadi satu masalah, cabaran, isu, dugaan, dan ia boleh jadi seribu satu perkara yang pernah kita hadapi atau lalui pendek kata macam-macam lah.  Pokoknya kita ada sesuatu yang difikirkan.

Kadang-kadang atau seringkali juga kita mendengar orang mengatakan 'malas aku nak fikir...!' malah ini pun boleh dijadikan satu perkara untuk difikirkan. 

Percaya atau tidak otak yang berjaya berfikir, menganalisis menekankan pemikiran rasional melibatkan fungsi rohani akan membantu manusia mencari kebenaran dan keikhlasan dalam usahanya mempertingkatkan nilai hamba di sisi  Allah SWT.   

Apa pula yang dimaksudkan dengan berfikir panjang...?  Bagaimana cara berfikir panjang?  Apakah panduannya?  Apakah formatnya?  Mudah sahaja...ini boleh diikuti dengan langkah yang berikut:

  1. Tuliskan apa sahaja perkara yang boleh diperbaiki/kekurangan yang ada dalam diri anda...
  2. Dengarkan bisikan hati anda untuk mengulas masalah/kekurangan anda itu...
  3. Tuliskan kenapa agaknya masalah itu timbul dalam diri anda
  4.  Apa kesan masalah/kekurangan itu dalam hidup, keluarga, profession atau perniagaan anda
  5. Berikan satu cadangan bagaimana caranya untuk anda memperbaiki kelemahan/masalah/kekurangan itu 
  6. Tuliskan satu tindakan segera yang mampu anda lakukan untuk memperbaiki kelemahan/masalah/kekurangan itu
Anda akan dapati diakhir anda berfikir panjang itu sekiranya jiwa anda sihat, anda akan temui...salah satu atau ketiga-tiga perkara berikut:

1.  Pemikiran yang membawa anda melihat Allah sebagai Pencipta yang Agung
2.  Pemikiran yang membawa anda melihat Allah sebagai Maha Berkuasa
3.  Pemikiran yang membawa anda melihat diri sendiri berbeza dari haiwan dan bersedia untuk berubah dan menerima nasihat orang lain...

jika tidak....anda memerlukan seorang Coach untuk membantu anda...



 

Monday, 14 March 2011

MAAFKAN DIA...!

Jadilah seorang yang pemaaf…kerana banyak kelebihan orang yang memberi maaf…

Walaupun hati kita sungguh sakit, pedih, terguris, terluka…tapi percaya, tak  ubat yang paling mujarab untuk itu adalah BERIKAN KEMAAFAN…?  Lepas itu hati kita akan berasa sungguh tenang… lapang…gembira…fikiran kembali positif…wajah bertambah seri…
Memang la mula-mula tu sungguh sukar untuk memaafkan dengan sepenuh hati.  Tapi bila sampainya ‘one fine day’ kita boleh memaafkannya keikhlasan itu akan datang sendiri dan akhirnya kita akan lupa akan kesakitan yang pernah kita rasa itu.

Ini sebenarnya satu terapi kepada hati yang sihat.  Jadi, jangan bersedih apabila kita disakiti.  Fikirkan yang positif.  Kadang kala kita perlu berubah.  Mungkin dengan cara yang ‘lembut’ kita tak nak berubah…maka bila kita kena uji dengan sikit ‘kasar’ dengan keadaan seperti ini,..baru lah kita sedar kesilapan kita itu. Tiba-tiba sebenarnya kita boleh berubah.  Malah boleh berhijrah untuk menjadi yang lebih baik lagi.  Hebat, kan sunnatullah ini…?

Lagi orang mampu memaafkan ini adalah orang yang benar-benar hebat.  Ini kerana mereka mampu mengawal minda dan perasaan amarah mereka.  Dari segi perubatan moden, orang yang memaafkan akhirnya akan mengurangkan tekanan dalam jiwa mereka.  Apabila ini Berjaya dilakukan maka masalah seperti tidak boleh tidur malam, sakit perut dan stress boleh ditangani. 

Di dalam Al-Quran ada menyebutkan tentang Allah menyuruh kita supaya memaafkan orang lain…antaranya…
Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh (jahil). (QS. Al-A’raaf, 7:199)
Dalam ayat lain Allah berfirman: "...dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (QS. An Nuur, 24:22)
dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (QS. At Taghaabun, 64:14)
Juga dinyatakan dalam Al Qur'an bahwa pemaaf adalah sifat mulia yang terpuji. "Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Qur'an 42:43)
Berlandaskan hal tersebut, kaum beriman adalah orang-orang yang bersifat memaafkan, pengasih dan berlapang dada, sebagaimana dinyatakan dalam Al Qur'an, "...menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain." (QS. Ali ‘Imraan, 3:134)


Dan banyak lagi…
Oleh itu pembaca sekalian…marilah kita belajar untuk memaafkan orang lain…

Thursday, 10 March 2011