Sunday 13 November 2011

BAIK KAH KITA, BILA KITA BERTUDUNG?

Salam...semua, lama tak update blog ini...

Kali ni nak kongsikan satu pertanyaan yang kita kena jawap bersama-sama...  "baikkah kita, bila kita bertudung?"

Adakah mungkin orang yang bertudung seperti saya ini akan diuji sebegini? Saya selalu menasihati diri saya...bahawa tudung yang saya pakai membawa imej Islam.  Orang Islam mestilah sentiasa terbaik.  Dari semua aspek kehidupan...kerja, akhlak, pergaulan...semua lah!  Tidak dinafikan kadang kala mulut ini sekali sekala terlepas juga tersakiti hati orang lain, tapi bila tersedar tu kenalah cepat-cepat minta maaf...dan berusaha untuk tidak mengulangi lagi.  Seperti topik blog ini yang lepas, bahawa orang yang bertudung, berpuasa belum cukup menjadi indikator bahawa mereka adalah baik.  Tapi ini adalah proses untuk kita menjadi baik. 

Pengalaman saya dengan orang yang tidak bertudung ini dari segi pergaulan, kerja, kehidupan memang tip top! Memang terbaik.  Cuma mungkin bila mereka bertudung maka complete lah package mereka as a Good Muslimah! Mungkinkah juga mereka sedang diuji? siapa tahu? Saya juga amat berharap agar topik kali ini mungkin memudahkan laluan ujian yang sedang mereka lalui...


kenapa tanya soalan ini, ye?



Sebab...ada seorang sahabat kata "kalau bagi kerja selalu ada alasan, kalau buat kerja pun hasil kerja tak seberapa, hantar tugasan pun lewat, curi tulang pun selalu... ini bukan yang pakai tudung aje, ustaz pun ada...! so, apa bezanya dengan i yang macam ini (tak bertudung), tapi i masih tahu hukum curi tulang..."

herk! herk! herk! susah gak nak jawab...



Diharap penulisan Ustaz Pahrol ini boleh membantu kita...

Keupayaan akal terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.

“Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.”

“Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?” jolok saya melayan pola logiknya berfikir.

“Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak.”

“Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?” kilas saya tiba-tiba.

“Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut…”

“Itu sahaja?”

“Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?”

“Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya.”

“Mengapa?”

“Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran… ia suatu yang objektif dan mutlak, ” akui saya terus-terang.

“Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!”

Saya cuba senyum lantas berkata,” akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat… Ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas.”

“Jadi akal kita untuk apa?” desaknya lagi.

“Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan.”