BINGKISAN CINTA BUAT DIA...


 

Tak sangka rupa-rupanya pejam celik-pejam celik mencecah sudah 12 tahun usia perkahwinan kita, kan?!  Terima kasih abang sebab memilih diri ini sebagai isterimu…kenangan 8 bulan tempoh pertunangan, belum cukup untuk aku mengenalimu… sehingga kini pun aku masih belajar untuk memahamimu.  Suami seorang yang sungguh lembut walaupun anak-anak ku kata ‘…ayah garang!’.  Suamiku penyayang sungguhpun ayat-ayat romantis ‘abang sayang padamu’ boleh dikira dengan sebelah tangan. 
 
Dia sungguh ringan tulang dalam menguruskan rumahtangga walaupun dia tegas dalam urusan tugasan rasminya di tempat kerja.  Pada mulanya diriku sungguh tercabar bila dia mula masuk campur dalam urusan di dapurku... namun akhirnya ku akur bahawa sesungguhnya aku amat memerlukan dia untuk menguruskan rumahtangga ini.  Mana kan tidak, untuk menguruskan 4 orang anak dengan kerjaya... tentunya sungguh meletihkan.
 
Dia bertegas untuk tidak mengambil pembantu rumah.  Prinsipnya rumah kita, tanggunjawab kita...!  Terima kasih kerana mendidik ku mengenal erti tanggungjawab.

Sehingga ke usia perkahwinan kita ini sesungguhnya diri ini rasa sungguh bahagia menjadi suri dalam kehidupanmu.

Terima kasih Ya Allah kerana telah kurniakan dia dalam hidup ku ini.  Hamba ini sungguh dhaif lagi banyak meminta.  Walau ku serahkan seluruh ketaatan, kebaikan, kebajikan dan kehidupan ini kepada Mu Ya Allah ia tidaklah setimpal sebagai lambang kesyukuranku kepada Mu… sesungguhnya nikmat yang Kau kurniakan kepada ku amatlah banyak dan hamba ini masih kurang bersyukur… Suami yang ku damba bukanlah kacak namun cukup menenangkan hati ini setiap kali menatap wajahnya…  semakin ditatap, semakin hati ini mensyukuri nikmat Mu Ya Allah.  Suami yang ku damba bukanlah seorang pemimpin dunia, tapi mampu memimpin diriku dan keluargaku atas jalanMu Ya Allah…

Suamiku, sepanjang usia remajaku telah ku simpan piala hati ini untuk mu… Belum pernah sesiapa pun menaklukinya mahupun mengetuknya.  Kiranya kau tahu sesungguhnya jauh perjalananku mencari mu.  Prinsipku tiada istilah boyfriend atau pak we dalam diariku… yang ada hanyalah SUAMI.  Biarlah rakan-rakan lain bangga kerana ada boyfriend dan sibuk berdating… tapi aku bukan seperti mereka.  Aku yakin Allah akan kurniakan ku kebaikan akan apa yang aku lakukan ini. 

Pelbagai persiapan telah kulakukan untuk menyambut dirimu… tentunya ilmu dunia dan juga akhirat.  Ilmu memasak, menjahit, rumahtangga, kesihatan walaupun tak akan habis, aku perlu membuat persediaan untuk dipraktiskan.  Semuanya untuk seorang lelaki bergelar suami dalam hidupku nanti yang entah aku sendiri pun tak tahu di mana dia.  Pernah juga hati ini diduga, mungkin aku tak kan menjumpai suami ku di dunia ini… tapi, aku mahu Allah gantikan seorang suami buatku di syurga nanti.  Sesungguhnya aku nekad dan pasrah!

Semakin aku perlukan suami, semakin banyak aktiviti kebajikan ku lakukan dan semakin banyak doa ku panjatkan.  Doa setiap sujud akhir solatku memohon agar kurniakan kepadaku seorang yang benar-benar mahu menjadikan aku isterinya, ibu kepada anak-anaknya dan meneruskan perjuangan agama ini… Setiap detikan hati ini ku jaga agar aku dapat menjaga amanah agama… begitu juga ku jaga akhlak, peribadiku, fikrah ku hanya untuk agama ini dan mengharap agar Allah membalas kepada ku dengan seorang suami dan anak-anak yang juga mempunyai fikrah seperti aku satu hari nanti… 

Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar Lagi Maha Perkenan…! 

Urusanku dipermudahkan! Dia datang kepadaku… hanya dengan satu tujuan-menjadikan aku sebagai isterinya!  Seperti doa yang ku mohon padaMU setiap hari…  Aku beristikharah, rupanya ada dua orang! Aku pilih dirimu kerana dirimu yang kulihat paling hampir dengan ku… Wahai Tuhan yang Maha Sempurna, dia cukup sempurna buatku…! Terima kasih Ya Allah kerana memperkenankan doaku…

Suamiku, aku tak mahu menjadi isteri mahupun wanita yang biasa-biasa sahaja… cita-citaku amat tinggi untuk agama dan perjuangan ini.  Kemaafan ku mohon kerana diri ini tidak seperti wanita yang lain… cepat memahami, pandai mengurus dan menghias rumahtangga, cekap ketika di dapur dan yang macam-macam lagi… sehingga kini aku masih lagi berusaha untuk menjadi yang sempurna buatmu… kerana kau begitu sempurna buat ku…! 

 

 

No comments:

Post a Comment