Tuesday 21 June 2011

KEMATIAN DAN KEHIDUPAN YANG BARU

Kematian adalah merupakan satu detik bermulanya sebuah kehidupan yang baru tanpa berkesudahan.  Sebagai umat Islam adalah wajib meyakini bahawa selepas kematian ada lagi sebuah kehidupan yang berkekalan yang dinamakan alam akhirat.  Penentuan balasan syurga atau pun neraka.  
Proses kematian itu bermula sejak kita dilahirkan di mukabumi ini.  Kematian adalah satu kepastian.  Yang tak pasti itu bila akan terjadi kepada kita.  Semakin meningkat usia kita semakin dekatlah kita dengan kematian.  Walaupun kematian itu sebenarnya tidak mengira samada kita muda atau pun tua.   

Ada orang yang takut mati, ada orang lupa nak mati (tak ingat bahawa dia akan mati) dan ada juga orang yang kalau boleh tak nak mati.  

Apakah hikmah kematian dalam menempuh alam kehidupan sementara ini.  Orang yang sentiasa ingat mati akan menjadikan diri mereka progresif dan dinamik.  Kenapa?  Orang yang beriman dengan kematian, beriman dengan balasan kebaikan (pahala), kejahatan (dosa), seksaan alam kubur, titian sirat, seterusnya syurga dan neraka...akan memastikan dirinya sentiasa melakukan yang terbaik dalam kehidupan sementara ini.  Kehidupan sementara adalah peluang menambah 'pelaburan' ke sana.  Menjadikan ruang masa kehidupan 24 jam untuk beribadah hanya kepadaNya. Dengan itu bila kita ingat mati, sebenarnya akan menjadikan kita umat yang terbaik.

Contoh... jika kita ada anak...anak kita menghadapi masalah dalam pelajaran, di sekolah atau sebagainya, bagi orang yang beriman dengan kematian, tentunya akan memastikan bahawa masalah anaknya itu akan diselesaikan sebelum kematiannya.  Maka segala permasalahan cuba diselesaikan dengan sebaik mungkin.  Sebab kita tak mahu bila kita mati nanti anak kita dibelenggu masalah yang kita tak dapat selesaikan.  

Contoh lain, bagi mukmin yang berkerjaya, kita akan pastikan kerja kita lakukan dengan sehabis baik, supaya kalau kita mati nanti orang lain tidak tertanya-tanya apa yang telah kita lakukan.  Malah mungkin kita lebih banyak dapat buat kerja dengan hasil kualiti kerja yang terbaik.

Contoh lain, pengalaman saya sendiri sebelum menunaikan haji.  40 hari saya tinggalkan anak-anak.  Saya pun tak pasti 40 hari itu apa akan terjadi kepada saya.  Maka saya siapkan surat wasiat buat anak-anak akan apa yang akan saya tinggalkan.  Lepas itu satu perasaan yang sentiasa mendorong saya supaya jangan melakukan kemaksiatan, kejahatan, dosa, keingkaran tidak kira samada kepada sesama manusia mahupun bukan manusia.  Sebab saya tak nak mati dalam kemurkaan Allah SWT.  Saya nak buat yang terbaik untuk kehidupan akan datang.  (Semoga saya beristiqamah)  

Orang yang bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. 

Terima kasih Ustaz Pahrol untuk tazkirah pagi ini...semoga bermanafaat untuk dikongsikan.  

1 comment: